Saturday, January 31, 2009

BERSANTAI DI PANTAI & BERAKHIRNYA DENDAM

Jumaat, 30 Jan 2009 - Aku dan keluarga ke PCB kerana menemani Adham yang suka bermain layang-layang di tepi pantai. Aku juga bahagia melihat gelagatnya. Seperti biasa, Adham `lekat' dengan Syuhadah. Waktu gambar ini diambil, Hamimah dan isteriku ke gerai berhampiran untuk membeli colek buah dan aiskrim. Suasana di PCB meriah dengan kehadiran begitu ramai pengunjung. Kulihat ramai yang bersantai dengan anggota keluarga masing-masing.

Malamnya pula, dendam kepada `kerang bakar' berakhir. Maka, makan malamlah kami sekeluarga dengan kerang bakar yang begitu menyelerakan ....

Friday, January 30, 2009

ADAT DUNIA

Begitu cepat waktu berlalu. Tidak pasti samada aku yang terlewat dan terleka dalam mengejar waktu atau waktu yang terlalu cepat berlari meninggalkanku. Yang pasti Januari 2009 hampir berlalu pergi. Waktu kan terus berlalu. Akulah yang perlu menguruskan pengisiannya. Adakala berjaya dan adakalanya gagal. Adakala manis, adakalanya tidak. Lalu aku teringat akan kata-kata bekas bossku; Dunia memang begitu, pasti akan ada buruk dan baik kerana jika buruk sentiasa, itu di Neraka. Dan, untuk menikmati baik sentiasa, tunggulah di SYURGA nanti.

`Semoga Allah jadikan dunia ini syurga sebelum SYURGA bagiku....'

Tuesday, January 27, 2009

OHH KERANG BAKAR


Malam tadi jam 10.30 kami sekeluarga keluar rumah dengan hasrat hendak makan kerang bakar. Anak sulungku yang `mengidam' sangat nak makan. Dengan penuh harapan kami keluar. Namun sedih dan hampa sesampainya kami di restoran itu kerana rupa-rupanya kerang yang dihajatkan tidak ada... Takde rezeki lah nak makan kerang bakar malam tadi. Dendam nak makan kerang bakar disimpan untuk malam ini....

Monday, January 26, 2009

MEMOHON MAAF

Anak-anakku sedang bermaafan dengan Atuk & Nenek. Diambil pada Syawal 2008 yang lalu di JB. Kumasih ingat airmata Syuhadah bergenang kepiluan pada waktu itu. Sebak katanya. Mimah pula biasa-biasa je.... Takde perasaan kot.... Jangan marah ye Mimah ......

KUNJUNGAN SEORANG SAHABAT

Sahabatku sewaktu beliau berkunjung ke rumah pada tahun 2008 lalu. Beliau datang setelah menghadiri majlis perkahwinan staffnya. Bapa staffnya itu pula bekerja satu pejabat denganku. Apa yang menarik tentang sahabatku ini ialah suaranya yang mirip seorang DJ. Kukenali dia sejak tahun 2003. Beliau banyak mengajarku tentang tugas. Kunampak dia seorang yang penyabar. (Berkacamata)

Sunday, January 25, 2009

MYKAD, JPN, KB & JB

Hari ini aku dan keluarga ke JPN Pasir Mas kerana menghantar anak sulung membuat MYKAD. Agak terlewat dari tempoh genap usianya 12 tahun pada 7.11.2008 yang lalu. Urusan di JPN Pasir Mas mengambil masa yang singkat sahaja dan aku berpuashati dengan perkhidmatannya. Cepat dan sangat sistematik. Pagi tadi pula sempat ku menelefon ayahku di Johor Bahru. Adikku dan isterinya telah selamat sampai di JB jam 9.00 mlm 24 Januari 2009. Alangkah baik kalau aku dan keluarga dapat bersama mereka. Namun apakan daya kerana jarak yang jauh antara KB dan JB menjadi penghalang. Walaupun begitu, JB tetap dekat di hatiku. KB juga membahagiakanku...

Saturday, January 24, 2009

IBU & ISTERI

Kasih sayang yang diberi oleh kedua-duanya kepadaku amat berharga dan tak mungkin dapat kubalas sehingga bila-bila. Iringan doa, semangat serta dorongan daripada ibu dan isteri sentiasa `menemaniku' hingga ke hari ini dan semoga ianya akan terus dapat kunikmati `sampai syurga' nanti. Tanpa mereka, sepilah hidup ini ....

Friday, January 23, 2009

SAHABATKU

Ini adalah sahabatku. Dialah `guruku' semasa aku baru bekerja kira-kira 13 tahun lalu. Beliau bapa kepada 3 orang anak yang kesemuanya lelaki. Kudapati beliau amat penyayang terhadap keluarga. Panggilan telefon kepada isteri dan anak-anaknya adalah suatu yang mesti dibuat setiap kali beliau bertugas di luar stesyen. Tak pernah setakat ini kulihat beliau meninggikan suara kepada sesiapapun. Apa yang kucemburu dengannya ialah beliau sentiasa dilihat tenang dalam apa jua keadaan. Buat sahabatku ini, `Terima kasih diatas pemberian cenderahati daripada Mesir tempohari serta Selamat Datang ke alam siber dengan blogmu...'

LAGU UNTUK MEREKA YANG MERINDUI RASULULLAH SAW

ATUK DAN ADHAM


Hari ini birthday Adham yang ke 4. Amat disayangi Atuknya tapi apakan daya, jarak memisahkan Adham dan Atuk. Setakat ini, Adham seorang je cucu lelaki Atuk. Yang lain semuanya perempuan. Dengan nenek, Adham tak rapat sangat. Maklumlah jarang dapat berjumpa. Harap rindu Atuk pada Adham terubat bila tengok blog ini.


Thursday, January 22, 2009

PAKCIK DAN MAKCIK ANAK-ANAKKU

Inilah pakcik dan makcik anak-anakku, adik dan adik iparku dan adik ipar dan biras isteriku. Pak Uda dan Mak Uda anak-anakku ini pasangan bahagia. Rajin melayan anak-anakku.

Mak Uda ni `expert' masak asam pedas. Bila buat kerja, laju macam tak tau penat je. Pak Uda pula suka sambal goreng emakku. Minggu depan khabarnya mereka akan balik kampung. Seronoknya ......

BERSAMA SEMULA

Alhamdulillah aku selamat sampai di rumah jam 11.55 malam tadi. Disambut oleh isteri, anak bongsu dan anak sulung. Anak kedua, spt biasa, dah tidor. Pagi tadi dia bertanya, `Bila masa ayah balik?'. Aku senyum aje...

Di pejabat, banyak kerja perlu dibereskan. Maklumlah 4 hari pejabat ditinggal. Hampir maghrib baru pulang. Penat kerja hilang bila tudung saji dibuka. Isteri masak ikan kembung percik dan daging masak kicap. Resepi dari internet katanya. Sedap. Makin meningkat mutu masakan isteriku...

Esok, 23 Januari birthday anak bongsuku yang ke-4. Dah makin membesar anakku itu. Akupun dah semakin `tua' agaknya..... tapi taklah tua sangat ......


Wednesday, January 21, 2009

KEDAMAIAN

Damai sungguh hati bila melihat birunya laut, hijaunya pepohon, serta putihnya awan. Indah sungguh ciptaan Tuhan. Alangkah bahagia andai keluargaku dapat bersama.

Buat keluargaku,

`Ada masa nanti, kita pergi bercuti ya ....
'

ANAK YANG MEMENDAM RASA HATINYA


Maghrib tadi dapat bercakap dengan anak sulungku. Hilang rindu bila dengar suaranya. Suaranya merdu di telefon. Anakku ini susah nak diduga apa isi hatinya. Dia sering memendam rasa. Mungkin dia pernah rasa hampa bila apa yang dimintanya tak diperolehi. Mungkin dia terasa aku melebihkan adiknya, walhal daku tak begitu. Sebagai anak sulung, aku berharap dia dapat menjadi contoh kepada adik-adiknya. Apa yang menarik tentang anak sulungku ini ialah sikap penyayangnya terhadap adik bongsunya. Memang dia boleh diharap kalau diminta untuk memujuk anak bongsuku. Bila berjalan atau bersiar-siar, anak bongsuku `tak sudi' dengan orang lain selain kakak sulungnya.

Oh ya.... Mungkin anak keduaku cemburu bila aku asyik bercerita tentang anak sulung dan anak bongsuku. Kepada Hamimah, lain kali ayah cerita tentang adik pula ya .....

HEBATNYA WANITA

Flightku delay. So, aku penuhi masa yang terluang untuk menulis di blogku ini. Mesyuaratku berakhir jam 12.30 tgh tadi. Kini masa untuk melaksanakan keputusan mesyuarat berkenaan. Pastinya iannya tidak mudah. Namun aku berdoa moga Allah swt permudahkan segala-galanya buatku.

Oh ya. Anakku yang bongsu rupanya `ponteng' lagi hari ni. Isteriku keletihan dan tak larat untuk menghantarnya ke sekolah. Aku faham. Menguruskan rumahtangga bukan tugas yang mudah. Mungkin lebih berat daripada tugasku. Aku pernah menguruskan r/tangga waktu anak bongsuku warded di hospital selama 5 hari. Penatnya bukan main. Lenguhnya kaki lepas basuh pinggan mangkuk.... Gosok baju lagi.

Aku surrender..... Tak sanggup.....

Tuesday, January 20, 2009

ANAK BONGSUKU

Petang tadi isteriku telefon memaklumkan bahawa anak bongsuku telah mula bersekolah tadika hari ini setelah cuti beberapa hari kerana tidak sihat. Anakku ini agak lain sikit berbanding dengan kakak-kakaknya. Dia takut dengan orang lain. So, hari ini dia menangis di sekolah dan tak boleh lepas dengan isteriku. Walaupun umurnya baru 4 tahun, kami buat keputusan untuk sekolahkan dia agar dia dapat bergaul dengan kawan-kawan yang sebaya dengannya. Dia amat pemalu. Macam isteriku juga (dulu). Mudah-mudahan dia berubah apabila usianya meningkat.

Esok hari terakhir mesyuaratku. Tak sabar rasanya untuk balik bertemu keluargaku....

ROTI JALA, AYAM PANGGANG BERMADU

Agak sibuk semalam, tak sempat menghantar post baru buat tatapan keluargaku. Namun aku tetap berhubungan menerusi sms dan panggilan telefon. Anak bongsu dah sembuh daripada demam cuma masih belum berselera untuk makan. Anak kedua risau sebab cikgu yang menghantarnya ke sekolah bercuti hari ini. Dia takut nak `ponteng' sebab ada subjek matematik. Yang sulung dah mula happy di sekolah baru. Isteri pula dah berjaya buat roti jala (kali pertama mencuba). Tahniah. Hari ni khabarnya nak masak ayam panggang bermadu. Sedap tu...

Sunday, January 18, 2009

BERJAUHAN

Pagi ini sempat aku hantar anak sulungku ke sekolah barunya sebelum aku pergi bertugas `out-station' di utara tanahair. Perancangan Tuhan amat sempurna. Syukur Alhamdulillah.

Berjauhan sudah pasti akan menerbitkan rasa rindu terhadap keluargaku. Rindu ini amat manis kerana ia lahir secara semulajadi sbg tanda kasih sayangku terhadap mereka. Isteriku pasti akan sibuk menguruskan anak-anak tanpa aku. Semoga segalanya beres seperti selalu. Doaku sentiasa mengiringinya sepertimana doanya sentiasa mengiringiku ...

KELUARGAKU

Inilah keluargaku. Yang sulung memang gemar bergaya. Yang kedua selamba aje manakala yang bongsu sentiasa rapat dengan emaknya. Merekalah penawar hidupku.

Saturday, January 17, 2009

TUKAR SEKOLAH

Pagi ini selesai tugasku menghantar anak sulung ke sekolah lamanya, memulangkan buku yang dipinjam. Esok anakku mula daftar di sekolah barunya. Daku bertanya pada dia, `Tak sedihkah akak nak tinggalkan sekolah ni?'. Jawabnya, `sedih gak'. `Kenapa sedih?' tanyaku padanya. `Sebab dah kenal cikgu-cikgu kat sini'. `Kalau gitu, tak payah tukar sekolah?' Daku mengujinya. Anakku senyum tanpa jawapan.

Daku tahu beliau sedih tapi dalam masa yang sama ingin ke sekolah baru yang lebih dekat dengan rumahku. Bagiku, walau dimanapun beliau bersekolah, yang penting beliau dapat belajar dengan baik dan berjaya, demi masa depannya...


ANAK-ANAKKU DAN SEPUPU MEREKA


Anak-anakku mesra dengan sepupu mereka. Jarak memisahkan mereka. Setiap kali dapat peluang berjumpa, kami suami isteri terasa `diabaikan' oleh mereka. Leka sungguh mereka dengan PS2, PSP dan cerita DVD. Maklumlah jarang dapat berjumpa. Biarlah. Asal mereka bahagia.

UNGKAPAN INDAH BUAT SEMUA

Saya terima sms ini dari seorang yang menerimanya daripada seseorang. Walau siapapun orang itu, terima kasih kerana bahasanya itu amat indah. Inilah smsnya;

`Ku minta kepada Allah setangkai bunga segar. DIA berikan kaktus berduri. Ku minta kupu-kupu, diberiNYA ulat berbulu. Ku sedih dan kecewa. Namun kemudian, kaktus itu berbunga, indah sekali. Dan ulat itupun menjadi kupu-kupu yang cantik. Itulah jalan Allah, indah pada masaNYA. Allah tidak memberi apa yang kita harapkan tapi DIA memberi apa yang kita perlukan. Kadang-kadang kita sedih, kecewa dan terluka. Tapi jauh di atas segalanya, DIA sedang mengatur yang terbaik buat kehidupan kita...'

SALAM UNTUK SEMUA

Hari ini aku mula membuka blog sendiri. Ku namakan blog ini atas nama isteri tersayang yang sentiasa menyayangiku, berdoa untuk kesejahteraanku dan teman waktu susah dan senangku. Semoga blog ini akan memberi banyak manafaat pada semua. InsyaAllah.