Sunday, October 25, 2009

PENATNYA

Minggu lepas, 19-23 Oktober, daku `out-station' lagi. Ada `conference' dan `meeting'. Tinggallah Anisku dan anak-anak di rumah. Rindu-rinduan, macam biasalah, sudah pasti. Petang 23 Oktober daku sampai ke pangkuan keluarga. Alhamdulillah.

Malam 23 Okt, daku keluar bersama keluarga. Pertamanya untuk beli barang keperluan dapur dan baju anak-anak. Adham masih `kemaruk' dengan baju Ben 10. Anak dara aku pula nakkan baju tidor. Belilah 2 pasang malam tu. Lepas tu daku bawa keluarga makan Pizza. Entah apalah sedapnya pizza ni. Bagiku tak sedap pun tapi Syuhadah dan Mimah bukan main minat. Layankan aje ler...

Minggu ni daku akan ke luar stesyen lagi hingga Jumaat. Awal November nanti akan pergi lagi. Rancangan nak bawa keluarga bersama nampaknya terpaksa daku lupakan kerana Hamimah ada peperiksaan. `Spoil' betul ...

Monday, October 12, 2009

HASRAT TERCAPAI ...

Maghrib tadi tanpa disangka dapat daku menjejakkan kaki dan bersolat di `masjid besi' Putrajaya. Hasrat untuk ke masjid ini sebenarnya tercetus di hati bila daku terbaca tentang keindahan masjid ini di akhbar bulan lalu. Lantas petang tadi hasrat itu disampaikan kepada sahabatku. Akhirnya, Allah permudahkan dan memakbulkan hasratku untuk ke sana. Tak kusangka sama sekali. Alhamdulillah.

Sunday, October 11, 2009

HILANG SIKIT RINDUKU ...

Alhamdulillah, hilang sikit rinduku kat Adham bila dapat tengok gambarnya di blog isteriku sebentar tadi. Sebenarnya petang tadipun aku amat bersyukur bila dapat tengok Adham melalui video call yang kubuat. Cuma Adham tak mahu tengok kamera aje. Apapun lega sikit hatiku ini sebab Adham dah nak makan sikit walaupun makan biskut aje. Bila berjauhan begini, telefon, sms, video call dan blog menjadi `perantara' yang mendekatkan daku dan keluargaku. Nasib baiklah anak sulungku pandai bila aku minta dia masukkan `sim card' ke hp 3G Hamimah. Dapatlah aku tengok Anisku, Adham, Syuhadah dan Mimah dengan video call. Kecur juga bila nampak pengat pisang yang Anisku buat petang tadi...

Esok aku akan mula `brainstorm' dan `meeting'. Dapatlah aku memberi tumpuan kepada tugasku pula. Alhamdulillah kerana hatiku dah tenang, lega dan lapang.

Saturday, October 10, 2009

ADHAM, CEPATLAH SEMBUH ...

Dah 2 hari anakku Adham demam. Malam Jumaat baru ini, jam 1.00 pagi, daku, Anisku, Syuhadah dan Hamimah pergi ke klinik. Apa taknya. Bibir Adham gergetar-getar kesejukan. Anisku dah bercucuran airmatanya. Syuhadah & Mimah pun gelisah. Pucuk kaki Adham sejuk menandakan panas di dalam. `Macam mana ni bang?' tanya Anisku? `Kita gi klinik' jawabku. Dalam hati, daku terasa bahawa cabaran besar menanti sebab tau jelah, Adham ni fobia dengan klinik.

Tapi, Alhamdulillah sebab walaupun sebelum ni Adham paling takut nak ke klinik, tapi malam tu dia diam aje. Bila doktor sentuh dahinya pun dia diam. Kalau tidak, nampak klinik aje dia dah meraung. Menurut doktor, Adham kena demam tinggi. Dinasihatkan kami supaya sentiasa lapkan Adham dengan kain basah agar suhu panasnya cepat turun.

Sekarang ni, setiap 4 jam Adham diberikan ubat. Sihat dan seperti biasa selepas diberi ubat tetapi panas semula selepas `tempoh' ubat itu habis. Makanpun Adham dah takde selera. Kalau tak, dia yang minta disuapkan makan. Bila dah tak makan tu, apalagi, susut le badannya. Doaku semoga Adham cepat sembuh sebab minggu depan daku `out-station' lagi.
Dan yang tak sedap tu, Mimah pun dah mula demam. Sebenarnya Syuhadah dulu yg demam. Rasanya Adham menjangkit Syuhadah dan Mimah mungkin menjangkit Adham. Begitulah ceritanya.

Oh ya. Semalam juga daku sempat membaca majalah Solusi (Isu no. 11). Antara yang menyentuh hatiku ialah bila daku membaca artikel ketua editornya pada mukasurat 14. Menurut tulisannya,

`Ramai manusia (termasuk umat Islam) tidak serius tentang misi hidup ini. Ironinya, mereka lebih menitik beratkan persoalan `kemahiran' hidup berbanding `tujuan' hidup. Akibatnya, ramai yang gagal memanfaatkan masa, tenaga dan sumber yang dikurniakan Allah secara optimum. `Kita hidup, bukan hidup-hidupan'. Jika demikian, apakah misi atau tujuan kembara kita di dunia ini? Apakah yang kita cari? Semua itu mesti kita pastikan kerana jika kita tidak pasti apa yang kita cari, sampai bila pun kita tidak akan bertemu dengan apa yang kita cari itu.

Kepada Ketua Editor berkenaan, terima kasih kerana tulisanmu itu ...

Sunday, October 4, 2009

PISANG REBUS

Hari ini daku mengalami semula sakit belakang yang agak kerap juga `menyerang'ku sebelum ini kecuali pada Ramadhan lalu. Rasa sakit ini membuatkan daku tidak selesa dan demam. Sepanjang Ramadhan, sakit ini langsung tidak kualami. Jadi, pagi tadi daku ke klinik untuk pemeriksaan dan mengambil ubat. Doktor nasihatkan daku buat MRI. Takut pulak rasanya. Daku bertanya kepada doktor bolehkah sakit macam ini diurut dan katanya boleh. Jadi, petang ini ada pakcik yang akan datang ke rumah untuk mengurutku. Mudah-mudahan Allah sembuhkan daku.

Syuhadah pun demam juga. Mungkin sebab kepenatan kerana berjaga malam. Bukan belajar tapi leka dengan internet. Anisku kerap menegurnya tapi Syuhadah buat endah tak endah aje. Jadi, kenalah daku campur tangan. Masam aje mukanya bila daku tegur. Tapi daku perlu tegas untuk kebaikannya juga.

Oh ya. Semalam dan hari ini Anisku menyediakan pisang rebus untuk makan petang. Sedap betul. Patutnya pisang rebus tu dimakan dengan kelapa parut campur sedikit gula. Tapi makan begitu saja pun dah sedap. Mungkin esok daku nak minta Anisku sediakan pengat pisang pulak... Lama tak makan pengat pisang. Rindu kepada karipap sardin pun ya jugak..

Friday, October 2, 2009

KENANGAN MANIS ...

Agak lama daku tidak berkesempatan menulis di blog ini. Terlalu sibuk pun tidak juga tapi kerana laptop ku sentiasa digunakan oleh anak-anak. Daku sebenarnya ingin mendisiplinkan diri dengan menulis tiap-tiap hari. Allahyarham A.Samad Ismail, kalau tak silap aku, pernah menceritakan tentang disiplin menulis ni. Menulis ni sebenarnya dapat memberi kepuasan dan ketenangan pada diriku. Adakalanya kita dapat luahkan perasaan dengan menulis.

Dah hampir 2 minggu Ramadhan berlalu. Terkenang-kenang daku suasana bersahur, berbuka dan bertarawih. Entah kenapa Ramadhan tahun ni benar-benar manis buatku. Bukanlah maksudku Ramadhan sebelumnya tidak manis, cuma Ramadhan tahun ini kurasakan terlalu cepat berlalu. Raya tahun ini juga rasanya lebih mendamaikan jiwaku. Raya memang seronok apabila Ramadhan dapat dihayati dengan gembira.

Daku agak bertuah juga kerana dapat merasakan suasana balik kampung setiap kali Hari Raya. Walaupun jauh tapi keseronokan balik kampung susah nak diceritakan. Selepas seminggu di kampung, suasana sebak, sayu dan syahdu pula dirasa bila bersalaman dan didakap oleh ayah dan emak saat hendak pulang semula ke tempat daku bermastautin kini. Dakapan ayah yang kuat dan ciuman emak di pipiku masih terasa. Itulah ayah dan emak, yang sentiasa mendoakan kesejahteraanku. Dakupun tak pernah lupa mendoakan mereka setiap hari.

Selain itu, bertemu dengan bapa mertua dan keluarga Anisku juga menggembirakan. Harapanku ialah semoga bapa mertuaku gembira tahun ni kerana tahun ini (buat pertama kalinya) daku solat AidilFitri di kampung Anisku. Adakalanya sukar juga untuk membahagiakan semua orang dalam semua perkara dalam setiap masa. Namun Allah Maha Tahu betapa daku sentiasa berusaha ke arah itu. Dan aku akan terus berusaha, kerana berusaha untuk membahagiakan orang adalah satu kebahagiaan bagiku. InsyaAllah.