Wednesday, July 28, 2010

KESEORANGAN ...

Hari ini aku keseorangan. Jauh dari keluarga tersayang. Adakalanya bersendirian memberikan ketenangan namun adakalanya pula ia amat menyiksakan. Kini aku sedang mengalami situasi yang kedua. Ya Allah, tabahkan hatiku. Tetapkan imanku. Terima kasih diatas segalanya....

Wednesday, March 31, 2010


Lama tak update blog ini. Leka dengan facebook sebenarnya. Anak sulungku yang registerkan untukku. Leka bukannya apa, dapat trace kawan-kawan sekolah dulu. Dapatlah tengok rupa masing-masing yang terkini. Ada yang masih ada `wajah dulu' dan ada yang dah berubah betul. Terhibur hati ini.

Aku kini sedang membaca buku Nota Hati Seorang Lelaki. Pengarangnya ialah Pahrol Mohd Juoi. Belum habis dibaca lagi. Buku ini adalah catatan penulis tentang cerita-cerita menarik orang lain yang juga adalah cerita-cerita kita. Ada satu nota untuk semua ayah,

`Hadiah terbaik seorang ayah kepada anak-anaknya ialah dengan mencintai ibu mereka. Cintailah isteri nescaya anak-anak akan mencintai kita. Jangan sekali-kali memisahkan kasih antara anak dan ibu, nanti putus pula kasih antara anak dan bapa'. (Kini baru kusedar, kenapa anak-anakku cinta padaku ... Betul tak Yang? Hehe)


Sunday, February 28, 2010

SETIAP 13 RABIULAWAL

Diam tak diam dah 16 tahun rupanya usia rumahtanggaku. Tak sangka sungguh sebab daku rasa macam masih baru aje. Tahun ini ku terima sepasang baju dari Anisku. Warna merah pulasan. Alhamdulillah. Tapi aku pula belum beri apa-apa hadiah buat isteriku. Bukan apa, cuma belum ada idea lagi nak bagi apa. Silap-silap, sampai anniversary tahun depan pun belum ada idea lagi. Hehe...

Doaku semoga rumahtangga yang terbina ini sentiasa bahagia dan dirahmatiNya selalu. InsyaAllah.

Friday, February 19, 2010

HARI ISTIMEWA

Pada tarikh hari ini, kira-kira 45 tahun yg lalu, pada hari Khamis malam Jumaat, aku dilahirkan di sebuah kampung di Johor Bahru. Menurut emakku, akulah yang paling susah nak di `keluarkan' dan paling sakit diantara anak-anaknya yang lain. Emak kata kepalaku besar. Cepatnya waktu berlalu. Umurku bertambah lagi. Baki umurku yang tinggal hanya Allah swt jua yang mengetahuinya.

Malam tadi, aku dapat sms kira-kira jam 12.11 am. Rupanya sms dari Anisku. Begini bunyi sms itu,`Selamat Harijadi yang ke 45 tahun. Moga dipanjangkan umur dlm iman n dpt apa yg diinginkan. Luv u so much'. Bahagianya dicintai isteri tercinta.

Ucapan juga diterima daripada anak-anak saudaraku, Intan Yuhanis dan Intan Norazlin pada jam 1.28 am. Akupun berbalas-balas sms dengan mereka dan akhirnya pada jam 2.00 am, aku masuk tidor ...

Sunday, February 14, 2010

MENGHARAP `TERIMA KASIH'???

Apabila kita memberi sesuatu kepada seseorang, sudah pastilah kita mengharapkan pemberian itu akan membahagiakan penerimanya. Namun selalu juga kita mendengar keluhan sipemberi itu kerana sipenerima `senyap' sahaja setelah hadiah diterima. Lantas sipemberi mengeluh, `Hai, terima kasih pun tidak.'

Kepada sipemberi, usahlah gundah gulana andai tiada ucapan terima kasih diterima. Janganlah pula kita jadi resah kerananya. Ingatlah bahawa matlamat asal adalah untuk menggembirakan dia dan bukannya kita. Malah kita sepatutnya gembira kerana telah berjaya melaksanakan niat kita. Bukankah ganjaran untuk itu telah menanti kita di sana nanti?

Teruslah memberi... Biasakan diri berasa bahagia dengan `memberi' walaupun tiada `terima kasih' yang diterima...

CINTA ITU BUKAN TUHAN

Cinta itu bukan Tuhan. Terasa menusuk kalbu bila daku membaca ayat itu. Tepat. Selama ini ramai diantara kita yang berasa bahawa cinta adalah segala-galanya. Kerana cinta, dunia terasa indah tapi bila cinta telah hilang, hidup jadi tunggang langgang. Walhal, cinta adalah anugerah Tuhan kepada hambanya agar berasa selesa dan bahagia dengan kehidupan. Janganlah kerana cinta, Pemberi cinta kita lupakan. Kini baru kufahami tentang cinta dan bagaimana cara yang betul untuk meraikan cinta ini. Terima kasih kepada penulis kerana tulisannya yang menyentuh hatiku ....

Siapa penulisnya? Carilah dalam majallah Solusi, isu 16 mukasurat 45.

Monday, January 25, 2010

BERATNYA MEMIKUL AMANAH ...

Memegang amanah sesungguhnya bukanlah sesuatu yg mudah. Kerana itulah ganjarannya amat besar. Ada yang berjaya, tidak kurang juga yang gagal. Adakalanya kita sendiri yang beria-ia sanggup memikul amanah, apatah lagi bila amanah itu sesuatu yang datang dengan kesenangan, keseronokan dan juga dengan `cinta'. Namun benarlah janji Tuhan bahawa semua itu akan diuji. Cinta yang pada awalnya dirasakan membara bak api yang tidak mungkin padam, rupa-rupanya hilang sekelip mata dek `cinta' yang lain. Hilanglah rasa tanggungjawab memikul amanah yang dulunya dikejar-kejar. Dibiarkan saja ianya berlalu. Kini bersedia pula untuk memikul amanah yang baru. Yang mungkin sedang membara lagi, tak pasti sampai bila pula....

Kepada yang ditinggalkan, `LA TAHZAN', jangan bersedih. Tabahkanlah hati kerana Tuhan sentiasa menyayangi hamba-hambaNya. Ditinggalkan mungkin adalah anugerah dariNya. Mudah untuk orang lain berkata begitu tetapi tidak semudah itu bagi sesiapa yang menanggungnya. Mungkin dugaan ini akan mendekatkan kita dengan Dia. Andai kita dekat dengan Dia, pemilik segala-galanya, kehilangan itu akan jadi teramat kecil, apatah lagi andai Dia menggantikannya nanti dengan kebahagian yang lain. InsyaAllah.

Kepada yang meninggalkan pula, jagalah amanah baru andai ianya ada. Jangan memburu lagi amanah lain yang akhirnya nanti tidak akan terpikul olehmu. Masa bukan milik kita. Manfaatkan ia untuk membina kehidupan baru.

Bimbang juga untukku berkata lebih, kerana daku juga sedang memikul amanah. Semoga Tuhan permudahkan segala-galanya buatku...

Saturday, January 9, 2010

BERMANJA-MANJA DENGAN ANISKU

Semalam perutku masuk angin. Sakit dan tidak selesa. Tiada selera makan. Jadi ianya tidak diisi. Makin sakit jadinya. Sepanjang hari daku terbaring aje. Solatpun duduk sebab rasa nak pitam bila berdiri. Memang daku tak boleh rasa lapar, pasti akan cepat masuk angin. Dah puas cuba macam-macam. Minum susu kambing pun sudah dan legalah untuk beberapa hari tapi berulang lagi pulak. Ingatkan dah sembuh.

Dalam sakit-sakit tu, dapatlah daku bermanja-manja dengan Anisku. Makan pun disuap olehnya. Kalau tak, asyik dengan anak-anak aje... Anisku buatkan bubur dengan ikan bilis, taucu dan ikan kering tenggiri. Memang sedap tapi daku makan sekadar mengisi perut sahaja sebab selera memang takde. Malam tadi daku tidur sorang-sorang aje di bilik atas. Biasanya tidur bertiga dengan Adham sekali. Anisku tak temankan sebab panas tidur kat bilik katanya. Memang daku sengaja nak berpanas sebab nak berpeluh kerana daku demam. Pagi tadi, badanku segar sikit tapi masih buang-buang air. Lepas makan ubat, legalah sikit tapi demam masih belum kebah lagi.... Ingat nak sambung bermanja-manja lagi dengan Anisku malam ni tapi rupanya Anisku pun demam jugak... Kesian ...

Friday, January 1, 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010


Sebenarnya daku tak berapa nak minat untuk ucap `Happy New Year' ni sebab kita kan baru saja melangkah ke Tahun Hijrah 1431. Tapi oleh kerana aku tak ucapkan Salam MaalHijrah sebelum ni maka eloklah aku ucap untuk kedua-duanya sekali kepada semua pembaca blog ini.

`Salam Maal Hijrah & Selamat Tahun Baru 2010"

Alhamdulillah tahun 2009 telah kulalui dengan selamat dan banyak kenangan manis terutama di saat akhir `pemergiannya'. Kenangan pahit, walaupun ada, telah hilang dek kemanisan yang kukecapi sepanjang tahun 1430H dan tahun 2009 yang lalu. Dengan sentiasa ditemani oleh Anisku dan anak-anak, dengan doa daripada keluarga, emak ayah serta sahabat-sahabatku, tiada apa yang hendak daku risaukan melainkan melahirkan rasa kesyukuran yang teramat sangat ke hadrat Allah swt diatas segala anugerahNya.

Tahun 2010 ini akan kuteruskan usaha untuk membaiki diri, membersihkan hati, melapangkan dada, mengurangkan ketidaksabaran (kalau boleh terus membuangnya) dan segala-galanya. Maklumlah, umurpun bukan muda lagi. (walaupun hati tetap rasa muda). Hehe...