Sunday, February 28, 2010

SETIAP 13 RABIULAWAL

Diam tak diam dah 16 tahun rupanya usia rumahtanggaku. Tak sangka sungguh sebab daku rasa macam masih baru aje. Tahun ini ku terima sepasang baju dari Anisku. Warna merah pulasan. Alhamdulillah. Tapi aku pula belum beri apa-apa hadiah buat isteriku. Bukan apa, cuma belum ada idea lagi nak bagi apa. Silap-silap, sampai anniversary tahun depan pun belum ada idea lagi. Hehe...

Doaku semoga rumahtangga yang terbina ini sentiasa bahagia dan dirahmatiNya selalu. InsyaAllah.

Friday, February 19, 2010

HARI ISTIMEWA

Pada tarikh hari ini, kira-kira 45 tahun yg lalu, pada hari Khamis malam Jumaat, aku dilahirkan di sebuah kampung di Johor Bahru. Menurut emakku, akulah yang paling susah nak di `keluarkan' dan paling sakit diantara anak-anaknya yang lain. Emak kata kepalaku besar. Cepatnya waktu berlalu. Umurku bertambah lagi. Baki umurku yang tinggal hanya Allah swt jua yang mengetahuinya.

Malam tadi, aku dapat sms kira-kira jam 12.11 am. Rupanya sms dari Anisku. Begini bunyi sms itu,`Selamat Harijadi yang ke 45 tahun. Moga dipanjangkan umur dlm iman n dpt apa yg diinginkan. Luv u so much'. Bahagianya dicintai isteri tercinta.

Ucapan juga diterima daripada anak-anak saudaraku, Intan Yuhanis dan Intan Norazlin pada jam 1.28 am. Akupun berbalas-balas sms dengan mereka dan akhirnya pada jam 2.00 am, aku masuk tidor ...

Sunday, February 14, 2010

MENGHARAP `TERIMA KASIH'???

Apabila kita memberi sesuatu kepada seseorang, sudah pastilah kita mengharapkan pemberian itu akan membahagiakan penerimanya. Namun selalu juga kita mendengar keluhan sipemberi itu kerana sipenerima `senyap' sahaja setelah hadiah diterima. Lantas sipemberi mengeluh, `Hai, terima kasih pun tidak.'

Kepada sipemberi, usahlah gundah gulana andai tiada ucapan terima kasih diterima. Janganlah pula kita jadi resah kerananya. Ingatlah bahawa matlamat asal adalah untuk menggembirakan dia dan bukannya kita. Malah kita sepatutnya gembira kerana telah berjaya melaksanakan niat kita. Bukankah ganjaran untuk itu telah menanti kita di sana nanti?

Teruslah memberi... Biasakan diri berasa bahagia dengan `memberi' walaupun tiada `terima kasih' yang diterima...

CINTA ITU BUKAN TUHAN

Cinta itu bukan Tuhan. Terasa menusuk kalbu bila daku membaca ayat itu. Tepat. Selama ini ramai diantara kita yang berasa bahawa cinta adalah segala-galanya. Kerana cinta, dunia terasa indah tapi bila cinta telah hilang, hidup jadi tunggang langgang. Walhal, cinta adalah anugerah Tuhan kepada hambanya agar berasa selesa dan bahagia dengan kehidupan. Janganlah kerana cinta, Pemberi cinta kita lupakan. Kini baru kufahami tentang cinta dan bagaimana cara yang betul untuk meraikan cinta ini. Terima kasih kepada penulis kerana tulisannya yang menyentuh hatiku ....

Siapa penulisnya? Carilah dalam majallah Solusi, isu 16 mukasurat 45.