Wednesday, September 23, 2009

PERUBAHAN ADHAM

Senang hati melihatkan perkembangan diri Adham. Walaupun masih malu-malu bila berjumpa dengan orang, tapi ianya tidaklah seteruk tahun lepas. Tahun lepas Adham langsung tak mahu keluar daripada bilik. Tapi tahun ini, Adham ok sikit. Dia taklah terperap aje kat dalam bilik, sebaliknya boleh keluar dan mahu didukung oleh atuknya. Dengan pakcik-pakciknya pun, (adik-adikku) dia dah boleh dekat. Semalam waktu hendak ke rumah makcikku, Adham pergi berasingan daripada daku dan Anisku. Kami pergi dengan dua buah kereta dan Adham ikut kereta adikku. Mungkin solat hajat Anisku yang khusus untuk mendoakan perubahan Adham telah mula dimakbulkan Allah swt. Alhamdulillah.

Akhirnya, walaupun daku gembira di Syawal ini, kenangan manis Ramadhan lalu masih segar di hati ini. Terlalu cepat rasanya Ramadhan berlalu pergi. Semoga secepat itu jugalah Ramadhan akan bertandang lagi. Daku akan sabar menanti ... InsyaAllah.

Tuesday, September 22, 2009

RISAUNYA

Hari Raya masuk hari ke-3. Dua hari telah berlalu. Tahun ini daku buat pertama kalinya telah menukar program hari rayaku. Sebelum ini, setiap malam raya, daku akan berada di rumah ibubapaku. Selesai solat raya dan bermaafan dengan emak dan ayahku, daku dan Anisku akan bertolak ke kampung Anisku pula.

Tahun ini, malam raya di kampung Anisku dan selesai solat raya, kami ke rumah orang tuaku. Harap niatku untuk menggembirakan Anisku berhasil. Bukan senang nak menggembirakan hati isteriku dalam bab-bab beraya ni. Bagiku, program raya tahun ni lebih teratur.

Namun, ada juga yang merisaukan daku. Bukan tentang orang lain tetapi tentang diriku sendiri. Aku risau sebab penyakit sebelum Ramadhan mula `singgah' lagi. Perut mudah masuk angin bila terlewat makan. Angin naik sampai ke tengkok. Semalam, apabila angin naik kerana `kelaparan', daku mula rasa tak tentu arah. Nak muntah pun ada. Ditambah pula dengan keadaan di jalanraya yang sesak teruk semalam. Daripada angin naik, daku mula `naik angin'. Lepas tu, keretaku pula buat hal. Bertambah-tambah le `angin'ku. Di hati kecilku daku tahu daku tak patut rasa begitu. Dan daku tahu ianya tidak baik bagiku. Daku perlu kembali kepadaNya.

Lantas dalam solat, daku bermohon ke hadrat Allah swt. Kubermohon supaya ketenangan yang telah daku nikmati di Ramadhan lalu kan dapat terus kumiliki. Selepas berdoa, rasa tenang datang kembali. Sesungguhnya, Allah swt itu Maha Mendengar `keluhan, kekesalan dan rintihan' hambaNya ini. Alhamdulillah.

Wednesday, September 16, 2009

KENANGAN DI PANGKOR

Ini adalah gambar-gambar di Pulau Pangkor. Waktu itu daku ada mesyuarat di sana. Apa yang paling tak boleh kulupakan ialah h/phoneku rosak kerana `terendam' dalam air. Daku lupa untuk keluarkannya apabila daku hendak `snorkling'. Sayang juga aku kat h/phone tu kerana daku ni memang seorang yang cermat bila menggunakan apa-apa barang pun. (Puji diri sendiri).

Daku ni sebenarnya bukan berani sangat nak masuk dalam air. Sebab itu dalam diam, daku `respect' kat Mimah dan Syuhadah yang selamba aje bila kat dalam air. Mereka happy sangat waktu tu. Memang kenangan manis waktu di Pulau Pangkor tu.

Tentang Ramadhan pula, malam ini ialah malam ke 27. Semoga penghayatan Ramadhan dapat diteruskan malam ini. Semoga Tuhan permudahkan segalanya bagiku....

Sunday, September 13, 2009

BERJAUHAN ...

Hari ini daku berbuka puasa sendiri tanpa Anisku dan anak-anak. Anisku dan anak-anakpun berbuka puasa tanpa aku. Solat tarawih pun sendiri jugalah malam ni. Esok pagi akan bersahur sendiri juga. Kalau sebelum ni Anisku akan kejutkan daku jam 5.00 pagi untuk bersahur, esok daku kena bangun jam 3.30 pagi untuk bersahur sebab pihak hotel akan menghantar hidangan sahur pada waktu itu. Maknanya selepas itu daku perlu berjaga-jaga agar tidak tertidur untuk solat Subuh..

Ini semua adalah pengalaman menghayati Ramadhan yang tinggal beberapa hari lagi. Dalam pada itu, rasa rindu pula pada Adham. Pagi tadi dia dah bangun waktu daku keluar rumah. Bila kuminta nak cium pipinya, dia diam tapi kemudiannya datang kepadaku dan menyuakan pipinya. Suara Mimah dan Syuhadah pula dapat kudengar bila mereka menelefonku malam tadi. Anisku pula mengirim sms menjelang waktu berbuka tadi...

SUASANA BERBUKA ...

Suasana di tempat tinggalku pagi ini sejuk dan nyaman. Subuh tadi hujan turun membasahi bumi setelah beberapa hari sebelum ini agak panas. Suasana selesa ini pasti memudahkan penduduk di sini untuk terus menghayati Ramadhan. Alhamdulillah.

Sepanjang Ramadhan ini, hanya 2 kali daku berbuka puasa di luar rumah. Yang pertama di masjid tempatku dan yang kedua di sebuah restoran yang terkenal di Bandaraya Islam ini. Sewaktu berbuka puasa di masjid, daku mengajak kedua-dua anak daraku turut sama. Daku tahu mereka keberatan tetapi terpaksa juga pergi kerana `takut kena marah' dengan aku. Saja aku mengajak mereka untuk `mendedahkan' mereka dengan suasana berbuka di masjid. Sewaktu berbuka itu, lapang dadaku melihat kedua-dua anakku itu.

Sewaktu berbuka kali kedua, kerana memenuhi undangan seorang kenalan, daku membawa bersama keluargaku. Syuhadah dan Mimah nampak happy kali ini. Daku pun happy juga. Cuma Anisku aje yang merungut tak kenyang kerana terpaksa melayan karenah Adham yang `melekat' aje dengannya. Kesian gak tapi apa nak buat, Adham memang payah di bawa ke majlis yang ada orang lain. Malunya bukan kepalang. Tapi sebenarnya Adham mewarisi sifat malunya itu daripada Anisku juga. Masih segar di ingatanku sewaktu Anisku `menyembunyikan' mukanya di belakang pintu rumahnya masa zaman daku bertunang dulu. Nak tengok muka tunang pun susah ... ! Walau macam manapun, berbuka puasa di rumahlah yang paling best.

Malam ini pula daku mungkin berbuka dan bersahur sorang je sebab ada tugas luar di ibu kota. Apa nak buat.... Takde lah karipap sardin Anisku nampaknya malam ni ...

Saturday, September 12, 2009

TENAGA XTRA

Daku heran juga dengan diriku ini. Kalau di bulan-bulan lain, daku cepat penat, lenguh-lenguh dan sengal-sengal badan. Tapi di Ramadhan ini, macam ada tenaga `extra' pulak. Meredah kesesakan jalanraya pun hati tetap tenang dan tidak rasa bosan. Tak macam selalu. Bagusnya kalau selalu macam ni.

Petang tadi daku dan keluarga pergi ke KB Mall. Lama juga kami di sana. Masuk supermarket, singgah ke kedai jamu (Entah apa ler yang Anisku cari kat kedai tu), kedai HPA, kedai As-Shafiq dan kedai pakaian. Lepas tu singgah pula ke Bazaar Ramadhan. Antara juadah yang dibeli, murtabak, kebab, ayam panggang bermadu, roti nan, karipap keledek, tomyam dan lauk ikan masak kicap. Lepas tu singgah pula ke Restoran Mamak Spicy untuk beli mee goreng mamak dan ayam masak asam pedas. Anisku kata, `Buat malu je abang cerita kat dalam blog ni..' Kataku padanya, `Apa nak malu, kisah benar...'

Akhir kata, malam ini adalah malam ke 23 Ramadhan. Sama-samalah kita menghayatinya dan mengisinya dengan perkara-perkara yang digalakkan oleh Rasulullah SAW.

Friday, September 11, 2009

MOHON MAAF TAPI TAK BERUBAH

Syawal adalah bulan dimana salam kemaafan akan dihulurkan sesama kita. Ianya menjadi amalan yang baik kerana dengan bermaaf-maafan, hubungan sesama kita seolah-olah di`sucikan' semula. Kemaafan yang dipohon andainya dilakukan dengan ikhlas pasti akan menghasilkan natijah yang baik. Memaafkan pihak yang memohon kemaafan juga adalah suatu yang amat mulia walaupun adakalanya luka telah sembuh tetapi parutnya masih ada.

Kita biasa mendengar seseorang itu memohon maaf dengan mengaku kesalahannya. Misalnya, `Maafkan saya. Saya tahu saya ini agak kasar dan panas baran. Tapi saya tak bermaksud begitu'. Ataupun, `Maaf ya. Mulut saya ni memang jahat tapi hati saya tak macam tu'. Maknanya, kita mohon maaf dan kita tahu kesilapan kita. Tetapi kita macam tak berusaha untuk memperbaiki kesilapan kita itu. Mengapa tidak kita berusaha untuk berubah agar selepas ini kita mungkin tak perlu minta maaf lagi atas kesalahan yang sama? Maka, dengan itu, di bulan mulia ini, daku berdoa agar daku berubah selepas ini...

Wednesday, September 9, 2009

CEPATNYA DIKAU HENDAK BERLALU ...

Hari ini daku rasa lega sebab anak-anakku yang demam 2 hari lepas telahpun pulih. Daku masih ingat pesanan doktor 2 hari lepas agar membawa anak-anakku semula ke klinik jika demam mereka masih belum sembuh. Risaunya daku waktu itu. Tapi hari ini, Alhamdulillah.

Tentang Ramadhan pula, bahagian keduanya bakal meninggalkan kita. Sayu juga hati ini bila mengenangkan betapa cepat Ramadhan ini bakal berlalu. Apa tidaknya. Ramadhan memberi ketenangan dan hidup amat teratur dengan kehadirannya. Sakit perutku hilang. Rasa selesa aje. Berkatnya bulan ini. Patutlah Ramadhan itu Penghulu segala bulan. Apakah hidupku akan terus tenang, teratur dan bahagia sesudah Ramadhan nanti? Doaku di bulan mulia ialah semoga daku dapat menikmati semuanya itu. InsyaAllah.

Monday, September 7, 2009

RAMADHAN & SYAWAL

Ramadhan telah masuk hari yang ke-17. Cepatnya masa berlalu. Lagu Raya telah mula berkumandang di radio. Lantas daku teringat seorang teman yang bercakap tentang Ramadhan dan Syawal kepadaku suatu ketika dulu. Katanya;

`Adakah sesuai bagi kita melayan tetamu yang belum masuk ke rumah sedangkan di dalam rumah kita telah ada tetamu. Tetamu yang belum masuk ke rumah itu sebenarnya dijadualkan datang bulan depan dan dia telahpun memberitahu kita tentang kehadirannya itu. Tentulah tidak manis dan tidak wajar sama sekali kita tertunggu-tunggu kehadiran bakal tetamu dan membiarkan tetamu sekarang begitu sahaja tanpa diraikan. Ataupun melayan tetamu sekarang dengan ala-kadar seolah-olah mahu tetamu kita itu cepat-cepat keluar rumah'.

Begitulah juga dengan Ramadhan dan Syawal. Raikanlah Ramadhan dengan sebaik mungkin tanpa terlalu tertunggukan Syawal. Ramadhan sedang membawa pelbagai kebaikan untuk dinikmati. Belum tentu kita dapat meraikan Ramadhan pada masa depan kerana Ramadhan tetap akan datang lagi tetapi kita belum tentu ada di rumah sewaktu ia datang lagi tahun hadapan.

Saturday, September 5, 2009

LAGI, LAGI, LAGI SEHINGGA ...

Berikut adalah ilmu yang dapat kuambil daripada Ustaz Badli Shah di rancangan Motivasi Pagi TV3 hari ini. Sentiasalah berzikir di Ramadhan ini. Kalau boleh, biar tasbih sentiasa di tangan sepanjang Ramadhan ini. Biarlah apa orang nak kata sebab dengan menggenggam tasbih, ia akan mengingatkan kita untuk berzikir kepada Tuhan. Buatlah selalu setiap kali selepas waktu solat dan juga pada waktu-waktu lain. Buatlah terus. Buat LAGI, LAGI, LAGI dan LAGI sehinggalah KITA TIADA LAGI.

Terima kasih Ustaz ...

Friday, September 4, 2009

MENJERNIHKAN YANG KERUH

Baru-baru ini daku tak senang hati bila mendapat tahu tentang keadaan keluarga saudaraku. Oleh kerana ia melibatkan saudaraku maka daku terpanggil untuk `campur tangan' dan berusaha agar keadaan dapat dijernihkan. Lantas dakupun mengirimkan pesanan ini kepada saudaraku. `Adakala kita sangka yang lain itu baik sedangkan kita dahpun memilikki yang terbaik.' Maka jagalah amanah itu dan bersyukurlah kehadrat Allah swt. Hargai apa yang sedang kita milikki sebelum kita kehilangannya.

Mak dan ayah pasti risau dengan keadaan anak-anaknya. Doa kesejahteraan buat anak-anak pasti dipanjatkan kehadrat Allah swt oleh mereka. Dan pagi tadi, daku dikhabarkan bahawa keadaan yang keruh telah menampakkan tanda-tanda kejernihan. Alhamdulillah. Moga terus jernih hingga ke akhirnya. Semoga Ramadhan ini akan terus memberi ketenangan, setenang hati melihat Kaabah.